DBKK laksana tindakan susulan premis makanan kotor di Bandaran Berjaya

DBKK laksana tindakan susulan premis makanan kotor di Bandaran Berjaya

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu (PKKKK) telah menjalankan pemeriksaan bersepadu pada 7 Mei lalu, ke atas sebuah premis makanan di Bandaran Berjaya yang tular di media sosial baru-baru ini.

Menurut kenyataan akhbar DBKK hari ini, hasil pemeriksaan mendapati aduan berkenaan adalah benar dan terdapat tanda-tanda kehadiran tikus daripada bau dan najis tikus di premis berkenaan.

Pihak PKKKK telah menjalankan penggredan untuk menilai tahap kebersihan dan premis makanan tersebut mendapat markah di bawah 70 peratus.

Pengusaha juga didapati gagal mematuhi sepenuhnya Notis Arahan Penambahbaikan yang
diberikan oleh pihak DBKK dalam pemeriksaan sebelum ini, iaitu pada 16 April bagi meningkatkan tahap kebersihan premis.

Pihak PKKKK telah memberikan arahan Notis Perintah Tutup Premis Makanan di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 bermula 7 Mei lalu, jam 11 pagi atas sebab premis tidak bersih sehingga boleh menjejaskan kesihatan orang awam.

Premis makanan tersebut diarahkan untuk menjalankan pembersihan yang menyeluruh termasuklah melaksanakan kawalan makhluk perosak.

Premis berkenaan hanya boleh dibuka setelah melepasi penggredan yang akan dilakukan oleh pegawai pemeriksa dalam pemeriksaan susulan selepas kerja-kerja pembersihan dibuat. Selain itu, pihak DBKK juga telah mengeluarkan satu kompaun di bawah Undang-Undang Kecil (Makanan dan Premis Makanan) 1966 atas kesalahan semua pengendali makanan gagal memiliki Sijil Kesihatan yang sah.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|