97 tan sampah dilupuskan sempena KK Cleanup Day 2.0

97 tan sampah dilupuskan sempena KK Cleanup Day 2.0

KOTA KINABALU: Sebanyak 97 tan sampah telah berjaya dilupuskan menerusi Program “KK Cleanup Day 2.0: Pulau Gaya dan Pulau Sepanggar” anjuran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang telah berlangsung selama tiga hari, bermula 6 hingga 8 Mei lalu.

Menurut kenyataan akhbar DBKK hari ini, hari pertama program berkenaan menyaksikan sebanyak 32 tan sampah telah berjaya dilupuskan, diikuti dengan 24 tan sampah pada hari kedua dan 41 tan sampah pada hari ketiga.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan sampah yang telah dilupuskan sebanyak 97 tan dalam tempoh tiga hari, iaitu satu jumlah yang melebihi jangkaan dan sasaran yang ditetapkan oleh DBKK.

Objektif utama penganjuran program “KK Cleanup Day 2.0: Pulau Gaya dan Pulau
Sepanggar” ini adalah untuk mewujudkan kesedaran sosial di kalangan penduduk dan pengusaha agar mereka mengambil tanggungjawab yang lebih serius dalam menjaga kebersihan persekitaran Bandaraya Kota Kinabalu.

Menerusi program ini juga, pihak DBKK amat bersuka cita untuk menerima kerjasama dan penglibatan positif daripada penduduk Kampung Lok Urai, Kampung Kasuapan, Kampung Lobong, Kampung Pulau Gaya Asli dan Kampung Torong Logong di Pulau Gaya, serta Kampung Pulau Sepanggar di Pulau Sepanggar.

Sehubungan dengan itu, melihat kepada kejayaan pelaksanaan program pada kali ini, dapat dilihat bagaimana usaha bersama boleh memberi impak yang besar.

Ianya turut menunjukkan komitmen dan kecekalan penduduk kampung dalam menjaga kebersihan.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|