Beaufort: Tiga rumah di Kampung Rancangan Klias, di sini, musnah dalam kebakaran, hari ini.
Dalam kejadian jam 2.20 petang itu, bagaimanapun tidak membabitkan kecederaan atau kemalangan jiwa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Mohamad Hasbullah Nenggok berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.27 petang.
Katanya, susulan laporan itu, seramai 12 pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dari BBP Beaufort digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, api sudah membakar sebahagian besar tiga rumah berkenaan dan operasi pemadaman terus dijalankan.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran dari sumber air sungai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, tiada sebarang mangsa kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan api berjaya dikawal pada jam 3.20 petang.
“Tiga rumah terbakar sepenuhnya manakala sebuah lagi rumah terbakar 20 peratus.
“Sebuah kedai runcit turut terbakar 10 peratus. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.49 petang,” katanya.
Jelasnya, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca serta jumlah kerugian.
-Deasoka