Kota Kinabalu: Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), Universiti Malaysia Sabah (UMS) meneroka peluang perancangan strategik baharu di antara UMS dan Jepun, khususnya dalam bidang pendidikan dan penyelidikan.
Dekan FSSA, Prof Dr Jualang Azlan Gansau berkata, rangkaian kerjasama tersebut merangkumi pihak industri dan komuniti.

“Perkara ini merupkan antara inti perbincangan ketika kunjungan hormat Konsulat Jepun iaitu Shiho Kako (Counsellor) dan Eguichi Takayoshi (Second Secretary/Consul) di FSSA pada awal bulan ini.
“Pihak FSSA turut memberi perkongsian beberapa kerjasama dan aktviti yang sedang dijalankan bersama universiti-universiti di Jepun iaitu Kagoshima University dan Rakuno Gakuen University untuk program Exchange Student and Visit of Research Counterpart To UMS,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, turut dibincangkan pada pertemuan itu ialah peranan UMS dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
“Kita juga telah memaklumkan kerjasama UMS-Jepun dalam bidang penyelidikan berkaitan dengan gempa bumi dan bencana tsunami.
“Dalam pertemuan ini, pihak Konsulat Jepun menyambut baik hasrat fakulti dan amat mengalu-alukan pemerkasaan hubungan kerjasama UMS dengan universiti-universiti di negara matahari terbit itu termasuk kerjasama dengan sekolah-sekolah menengah,” katanya.
Turut hadir ialah Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) FSSA, Prof. Madya Dr. Darmesah Gabda; Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Madya Dr. Rodeano Roslee; dan Timbalan Dekan (Hal – Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Chee Fuei Pien.
-Deasoka