Lelaki dipenjara 7 hari, denda RM10,000 kerana memandu ketika mabuk

Lelaki dipenjara 7 hari, denda RM10,000 kerana memandu ketika mabuk

Tawau: Seorang lelaki dipenjara tujuh hari dan denda RM10,000, selepas mengaku salah memandu dalam keadaan mabuk ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Tertuduh, Samsi Ewang, 51, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Leona Dominic Majilau.

Mahkamah turut memerintahkan Samsi menjalani hukuman tambahan penjara dua bulan jika gagal membayar denda, selain lesen memandu digantung selama dua tahun.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Chong Thien Vun, kira-kira jam 12.10 tengah malam, pada 6 Oktober tahun lalu.

Hasil ujian saringan pernafasan didapati kandungan alkohol dalam darah tertuduh sebanyak 147 miligram, melebihi had yang dibenarkan iaitu 50 miligram etil dalam 100 mililiter darah.

Berikutan itu, Samsi didakwa mengikut Seksyen 45A (1) APJ 1987 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama dua tahun dan denda sehingga RM30,000.

Selain itu, tertuduh turut didenda sebanyak RM400, gagal bayar lima bulan penjara selepas didakwa mengikut Seksyen 26 (1) APJ 1987 kerana memandu tanpa lesen.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa Asisten Superintenden Joan Lee, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Joan dalam hujahnya menegaskan kes pemandu mabuk semakin menjadi-jadi bukan sahaja di daerah ini malah di seluruh negara.

Atas sebab itu, beliau memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran dan peringatan kepada pemandu lain supaya tidak memandu dalam keadaan mabuk.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|