Penjawat awam mengaku tidak bersalah gunakan jawatan dapatkan suapan

Penjawat awam mengaku tidak bersalah gunakan jawatan dapatkan suapan

Tawau: Seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah, di sini, hari ini atas dua pertuduhan menggunakan jawatannya bagi mendapatkan suapan, tiga tahun lalu.

Tertuduh berumur 36 tahun itu membuat pengakuan berkenaan dan memohon untuk dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Jason Juga.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa atas dua pertuduhan menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan pada 28 Februari 2020.

Tertuduh didakwa sebagai ejen kerajaan secara rasuah menyetujui terima suatu suapan iaitu wang bernilai RM1,200 sebagai dorongan untuk melepaskan lori sebuah syarikat yang disita, pada jam 3.20 petang di Batu 3, Jalan Segama, Lahad Datu.

Tertuduh sekali lagi menerima suapan bernilai RM1,200 atas dorongan yang sama di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) cawangan Lahad Datu pada jam 4 petang.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 90(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tertuduh didakwa melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh diolpenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Tertuduh tidak diwakili peguam, manakala pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Norsham Saharom.

Hakim kemudiannya menetapkan jaminan RM10,000 dengan RM5,000 deposit untuk semua pertuduhan dan dua orang penjamin tempatan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melapor diri ke pejabat SPRM Lahad Datu setiap dua bulan sekali, menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan dilarang mendekati saksi.

Tarikh sebutan untuk pengurusan kes ditetapkan pada 8 Mac depan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|