6 termasuk pegawai dan anggota polis berdepan tuduhan bunuh

6 termasuk pegawai dan anggota polis berdepan tuduhan bunuh

Tawau: Enam individu termasuk pegawai dan anggota polis dihadapkan di Mahkamah Majistret Tawau, di sini, hari ini atas dakwaan membunuh seorang lelaki yang juga pemandu e-hailing pada 13 Januari lalu.

Tertuduh, Rosdi Rastam, 44; Dennis Anak Enit, 44; Fabian Anak Rungam, 43; Khairul Azman Bakar, 47; Mohd Azlan Sakaran, 39, dan seorang orang awam, Vivien Fabian, 34, didakwa membunuh Nurman Bakaratu, 61, di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Batu 5, di sini.

Pasukan keselamatan mengawal ketat anggota polis yang terbabit dalam kes bunuh pemandu e-hailing ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Tawau.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu antara jam 7.30 pagi hingga 11.30 malam, 13 Januari 2023.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Sementara itu, seorang pegawai kanan polis, Datuk Mat Zaki Md Zain, 58, didakwa di mahkamah yang sama atas pertuduhan bersubahat dengan Rosdi untuk membunuh mangsa, pada hari, masa dan lokasi yang sama.

Mat Zaki didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 302 kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman mati.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Dzul Elmi Yunus.

Pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad, manakala Rosdi (tertuduh) diwakili peguam Timothy Daud dan Kamarudin Chengki.

Tiga peguam iaitu Chen Wen Jye, Ram Singh dan Kimberly Ye pula mewakili Khairul Azman.

Semua tertuduh tidak ditawarkan ikat jamin.

Sebutan semula kes pula ditetapkan pada 11 April depan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|