31 pengemis jalanan diselamatkan di sekitar Kota Kinabalu

31 pengemis jalanan diselamatkan di sekitar Kota Kinabalu

Kota Kinabalu: Seramai 31 pengemis jalanan di sekitar Kota Kinabalu diselamatkan dalam operasi bersepadu yang dijalankan bagi membanteras kegiatan meminta sedekah di bandar raya ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata, kesemua mereka akan dihantar ke sebuah pusat perlindungan sementara.

James ditemui selepas operasi bersepadu membanteras peminta sedekah di sekitar Kota Kinabalu.

“Kita telah menjalankan operasi untuk menyelamatkan golongan Palauh dan peminta-peminta sedekah di sekitar kawasan bandar raya Kota Kinabalu.

“Ia merupakan kerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta beberapa agensi lain.

“Setakat ini, kita telah menyelamatkan seramai 31 individu yang terdiri daripada 10 wanita dewasa, tiga lelaki dewasa dan 18 kanak-kanak.

“Semua mereka yang kita selamatkan ini akan dihantar ke sebuah pusat perlindungan sementara dan kita akan ajar mereka kemahiran dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.

Beliau berkata, usaha bersepadu seperti itu akan diteruskan dari semasa ke semasa, termasuklah di daerah lain yang dikenal pasti.

Jelasnya, jumlah sebenar peminta sedekah di seluruh bandar raya ini akan diselaraskan dalam masa terdekat, bagaimanapun katanya dianggarkan jumlahnya sekitar 100 hingga 300 individu.

“Kita akan lakukan operasi setiap hari dan kita telahpun berbincang dengan MKN bagaimana cara untuk kita pergiat serta perkuatkan lagi operasi ini.

“Bukan di sini sahaja, namun kita akan melakukan operasi di seluruh Sabah seperti di Lahad Datu, Tawau dan Sandakan.

“Kita akan banteras kegiatan ini dan kita akan selamatkan mereka di seluruh negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, James turut menyeru kepada masyarakat untuk kekal tenang dan pihaknya akan bekerja keras dalam membanteras kegiatan pengemis jalanan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|