Kota Kinabalu: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menyifatkan tuduhan Naib Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Junz Wong yang mengaitkan tindakan tiga wakil rakyat parti itu meninggalkan WARISAN dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai sesuatu yang tidak masuk akal.
Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata kenyataan Junz itu menunjukkan bahawa beliau naif mengenai kelemahan partinya sendiri.
“Tuduhan YB Datuk Junz Wong bahawa GRS mengerakkan usaha menyebabkan tiga ADUN WARISAN meninggalkan parti tidak boleh diterima dan tidak masuk akal.
“Pada hari Isnin, tiga ADUN WARISAN telah mengumumkan bahawa mereka meninggalkan WARISAN kerana hilang keyakinan terhadap hala tuju parti itu serta mengambil kira pandangan akar umbi masyarakat di kawasan yang mereka wakili.
“Selain itu, rakyat juga kebosanan dengan tindakan pemimpin parti itu yang sentiasa mencipta pelbagai polemik dan ketidakstabilan politik di Sabah sehingga memberi kesan kepada usaha membangunkan negeri dan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Nizam berkata, sepatutnya, selepas majoriti rakyat Sabah membuat keputusan melalui PRN-16 Sabah pada September 2020, kepimpinan WARISAN perlu menerimanya dengan lapang dada.
Jelasnya, WARISAN seharusnya memberi peluang kepada parti yang diberi mandat untuk mengurus dan mentadbir demi pembangunan dan kemajuan rakyat serta negeri.
Katanya, WARISAN sepatutnya mengambil peranan sebagai semak dan imbang.
Sementara itu, Nizam berkata tuduhan kedua Junz mengenai kononnya Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, tidak ikhlas dalam membentuk kerajaan perpaduan paska PRU-15 juga sesuatu yang bertentangan dengan tindakan pemimpin WARISAN sendiri.
“Bagaimana mungkin sebuah kerajaan perpaduan dapat dibentuk setelah Datuk Shafie Apdal bertindak mengheret Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, bersama 12 ADUN UMNO dan tiga ADUN PKDM pada 6 Januari lalu untuk menjatuhkan kerajaan Sabah yang dipimpin oleh YAB DSP Hajiji dengan cara mengunakan pintu belakng? Jelas sekali Junz dan kepimpinan WARISAN yang tidak ikhlas dalam hal ini.
“Junz juga mempamerkan sifat hipokrit apabila beliau menyeru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat tiga ADUN yang keluar dari parti WARISAN itu sedangkan pada Mac, 2022, dua ADUN (Elopura dan Sri Tanjung) selepas meninggalkan DAP juga menyertai WARISAN.
“Beliau (Junz) tidak pula minta SPRM melakukan perkara yang sama ketika itu. Ternyata beliau (Junz) mengambil sifat seruan berpilih dalam hal ini,” katanya.
Nizam berkata, Kerajaan Sabah yang dipimpin Hajiji selaku Ketua Menteri Sabah menunjukkan prestasi yang baik dengan pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 (2020-2025) yang jelas dan terbuku.
Jelasnya, kutipan hasil dan pelaburan yang meningkat, pemulihan ekonomi menerusi pertumbuhan positif serta pencapaian dalam merealisasi perkara-perkara yang berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) antara bukti yang dapat dilihat.
“Semua pencapian ini adalah suatu manifestasi pengurusan dan pentadbiran negeri yang cemerlang. Justeru itu, tidak hairanlah jika ada lagi ADUN pembangkang akan keluar parti mereka dan menyatakan sokongan kepada YAB DSP Hajiji dalam masa terdekat ini,” katanya.
-Deasoka