KPM digesa ambil guru anak jati Sabah – KGKS

KPM digesa ambil guru anak jati Sabah – KGKS

Kota Kinabalu: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa menimbangkan pengambilan guru dari kalangan anak jati di Sabah sebagai langkah mengatasi isu kekurangan guru di negeri ini.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Kerajaan Sabah (KGKS), Mohd Kifflee Alli berkata, ia secara tidak langsung akan mengurangkan kadar pengangguran di negeri ini.

“Kami mencadangkan agar KPM segera melaksanakan tindakan serampang dua mata dengan mewujudkan permohonan khas jawatan guru kepada graduan anak jati negeri Sabah.

“Ia sebagai langkah mengatasi kekurangan guru sekali gus mengurangkan kadar pengangguran di negeri Sabah ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KGKS, di sini, hari ini.

Selain itu, katanya, cadangan itu turut dibuat bagi mengatasi berlakunya lebih ramai tenaga kerja tempatan yang mengambil keputusan untuk berhijrah ke luar negeri.

“Selain itu, bagi mengelakkan lebih banyak tenaga kerja yang berbakat ini keluar daripada negeri ini berhijrah ke tempat lain untuk mencari rezeki itu satu kerugian.

“Kami di KGKS meminta agar dibuka peluang seluas-luasnya kepada graduan anak jati Sabah untuk mengisi kekosongan jawatan guru di negeri ini,” katanya.

Untuk rekod, seramai 111 orang graduan tempatan di Sabah dilaporkan bersedia untuk mengisi kekosongan jawatan guru sekiranya diberi peluang.

Manakala, seramai 74 lagi calon yang memohon kontrak perkhidmatan pada tahun 2021 tidak mendapat panggilan temuduga berdasarkan laporan kajian yang dilakukan oleh KGKS pada tahun ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|