200 PATI warga Filipina diusir pulang

200 PATI warga Filipina diusir pulang

Sandakan: Seramai 200 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Filipina diusir ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan PATI Siri 3, melalui Pelabuhan Sandakan, hari ini.

Semua PATI berkenaan sebelum ini ditahan di Depot Imigresen Papar dihantar ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina menggunakan pengangkutan laut.

Sebahagian warga Filipina yang dihantar kembali ke negara asal oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di Pelabuhan Sandakan.

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, semua yang dipindahkan membabitkan seramai 145 lelaki, 31 wanita dan 24 kanak-kanak.

“Semua kanak-kanak yang terbabit dengan penghantaran pulang adalah penghantaran bersama ibu bapa dan penjaga masing-masing.

“Semua tahanan pada kali ini diusir melalui laut dengan menggunakan pengangkutan Feri MV Antonia 1,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

PATI warganegara Filipina diusir pulang ke negara asal mereka melalui Pelabuhan Sandakan, hari ini.

SH Sitti Saleha berkata, semua PATI ini ditahan di Depot Imigresen selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963.

Katanya, hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara ini.

“Oleh itu, semua warga asing diingatkan supaya memastikan mereka mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja yang dibenarkan untuk bekerja di Sabah.

“Semua agensi penguatkuasaan di Sabah akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara,” katanya.

Sementara itu, SH Sitti Saleha berkata, operasi pemindahan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh JIM Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Imigresen di Sabah.

“JIM Sabah ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi pengusiran ini khususnya Kerajaan Negeri Sabah dan pihak Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan,” katanya.

Tambah beliau lagi, JIM Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PATI.

“Ia dijalankan selepas semua PATI melalui tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan negara serta mendapat pengesahan daripada kedutaan negara asal masing-masing,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|