Banjir: Banjir di Sabah semakin pulih, 13 PPS ditutup

Banjir: Banjir di Sabah semakin pulih, 13 PPS ditutup

Kota Kinabalu: Keadaan banjir di Sabah semakin pulih di beberapa daerah dengan mencatatkan penurunan jumlah mangsa banjir seramai 2,639 orang daripada 927 Ketua Isi Rumah (KIR) keluarga setakat 4 petang ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah berkata, jumlah itu menunjukkan penyusutan yang mendadak berbanding 10,326 mangsa daripada 3,564 KIR pada tengah hari tadi.

Situasi semasa di salah sebuah kampung yang terjejas di Paitan.

Katanya, penurunan jumlah itu menyaksikan 13 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ditutup setakat ini menjadikan PPS yang masih beroperasi adalah sebanyak 19 tempat.

“Antara PPS yang ditutup di Kota Marudu iaitu Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Teritipan, Dewan Kampung Asin-Asin, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek, Dewan St Theresa dan lain-lain.

Sekitar proses penghantaran pulang mangsa-mangsa banjir di Tawau selepas PPS Dewan Mini Al-Mukarramah Kampung Tanjung Batu Keramat ditutup sepenuhnya

“Sementara itu di Tawau, PPS Dewan Mini Al-Mukarramah Kampung Tanjung Batu Keramat turut ditutup jam 2 petang tadi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini

Sementara itu, katanya antara daerah yang masih mencatatkan mangsa banjir iaitu Pitas (2,168 mangsa), ikuti Paitan (429 mangsa) dan Lahad Datu (42 mangsa).

“Semua mereka ini masih ditempatkan di PPS yang masih beroperasi di daerah masing-masing,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|