KUSKOP perincikan penubuhan Majlis Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil

KUSKOP perincikan penubuhan Majlis Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil

Kota Kinabalu: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sedang memperincikan cadangan penubuhan Majlis Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil di negara ini.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, pihaknya telah mengadakan sesi libat urus bersama pegawai-pegawai daerah sebelum ia dibawa ke peringkat seterusnya.

“Kita sedang memperincikan cadangan untuk menubuhkan Majlis Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil di seluruh negara dan kita telah adakan libat urus dengan pegawai-pegawai daerah.

Ewon berucap pada perasmian Kursus Keusahawanan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), di Kota Kinabalu.

“Seterusnya saya akan bawa perkara ini ke mesyuarat bersama dengan exco-exco keusahawanan negeri-negeri pada bulan hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Keusahawanan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), di Hotel Promenade, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, ditanya sekiranya terdapat cadangan penubuhan koperasi di setiap daerah, Ewon berkata pihaknya sentiasa mengalu-alukan sebarang permohonan.

“Penubuhan koperasi ni bergantung kepada rakyat , tetapi kita mengalu-alukan sebarang permohonan atau cadangan daripada rakyat.

“Sekiranya mereka ingin mewujudkan atau menubuhkan koperasi keluarga, sekolah, gabungan perusahaan mahupun gerakan koperasi di peringkat daerah atau di peringkat Sabah sendiri,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut memaklumkan bahawa KUSKOP akan melaksanakan 185 program memperkasa usahawan, penjaja dan peniaga kecil tempatan pada tahun ini.

Tambahnya, beliau menghargai kerjasama daripada agensi-agensi di bawah kementeriannya yang turut menjadikan Sabah sebagai salah satu lokasi pilihan.

Terdahulu, seramai 30 usahawan dan bakal usahawan di Sabah menyertai kursus Asas Keusahawanan anjuran INSKEN, yang merupakan salah satu daripada agensi di bawah KUSKOP.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|