10 siri amaran hujan berterusan, Sabah paling terjejas bulan ini

10 siri amaran hujan berterusan, Sabah paling terjejas bulan ini

Kota Marudu: Sebanyak 10 siri amaran hujan berterusan dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) sepanjang Monsun Timur Laut 2022/2023 (MTL 2022/2023) sejak Oktober lalu hingga hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata luruan monsun yang membawa hujan berterusan dijangka berpanjangan sehingga 4 Februari depan.

Katanya, fenomena itu dijangka tertumpu di timur Semenanjung dan Sabah.

“Berdasarkan laporan di seluruh negara, sehingga jam 10 malam tadi, ekoran episod hujan lebat berterusan kali ini, status semasa kejadian banjir menunjukkan sebanyak empat negeri terkesan membabitkan 13 daerah iaitu Johor (enam daerah), Pahang (satu daerah), Terengganu (satu daerah) dan Sabah (lima daerah).

“Jumlah keseluruhan statistik semasa mangsa banjir adalah seramai 14,012 orang daripada 4,596 keluarga yang direkodkan di 73 PPS.

“Jumlah ini tidak termasuk mereka yang terkesan secara langsung dengan kejadian banjir tetapi tidak berpindah ke PPS,” katanya dalam kenyataan selepas tinjauan mangsa banjir di sini, hari ini.

Armizan berkata, statistik terkini menunjukkan Sabah menjadi negeri yang paling teruk terkesan banjir dalam luruan monsun yang sedang berlaku.

Jelasnya, secara keseluruhan, setakat malam tadi, seramai 10,312 mangsa banjir berada di 33 PPS di Sabah membabitkan 3,564 keluarga di lima daerah iaitu Paitan, Pitas, Kota Marudu, Telupid dan Tawau.

Sementara itu, katanya sejak bermula MTL musim ini pada Oktober lalu sehingga malam tadi, jumlah keseluruhan mangsa banjir dan air pasang besar yang berpindah ke PPS di Sabah ialah seramai 13,480 orang daripada 4,675 keluarga membabitkan pembukaan 70 PPS.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|