‘Retort food’ untuk mangsa banjir diperluas di Sabah

‘Retort food’ untuk mangsa banjir diperluas di Sabah

Kota Marudu: Pemberian ‘retort food’ kepada mangsa banjir diperluaskan di Sabah sebagai alternatif dalam penyediaan makanan secara konvensional di pusat pemindahan sementara (PPS).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata kaedah itu yang dimulakan di beberapa PPS, di sini, mendapat sambutan baik mangsa banjir.

Pendekatan itu, katanya amat sesuai bagi memastikan makanan dapat disediakan dengan segera kepada mangsa banjir yang baru tiba di PPS, selain menjamin kualiti makanan yang disediakan.

“Saya mendapat maklum balas positif daripada mangsa berhubung pembekalan ‘retort food’. Namun mengambil kira pelaksanaan masih dalam peringkat perintis, penyediaan ‘retort food’ ini masih terhad dan belum meliputi semua PPS.

“Atas sebab itu, kita masih menerima beberapa aduan kelewatan penyediaan makanan untuk mangsa yang baru sampai di sesetengah tempat.

“Saya melihat wujud keperluan agar penggunaan ‘retort food’ sebagai makanan kali pertama untuk mangsa yang baru tiba di PPS wajar diperluaskan di Sabah,” katanya dalam kenyataan selepas tinjauan mangsa banjir di sini, hari ini.

Beliau berkata, usaha juga perlu diambil untuk penyediaan bahan ‘retort food’ yang diperolehi dari negeri ini berbanding dibawa dari Semenanjung, ketika ini.

“Sewajarnya usaha dirintis supaya bekalan dapat diperolehi secara domestik di Sabah sendiri untuk memastikan stok boleh didapati pada bila-bila masa yang diperlukan tanpa kekangan logistik udara atau laut,” katanya.

Jelasnya, perkara itu akan dibawa untuk perbincangan dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, perbincangan juga akan dibuat dengan kerajaan begeri dan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam aspek penyediaan makanan di semua PPS di Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|