Sandakan: Cawangan Selam Unit 2, Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) berjaya melaksanakan Operasi Penimbulan bot ronda milik Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) yang karam akibat dipukul ombak besar di perairan Pulau Berhala, di sini, Rabu lalu.
MAWILLA 2 dalam satu kenyataan hari ini berkata, bilik Operasi MAWILLA 2 menerima maklumat awal dari Markas Angkatan Bersama 2 (Mk ATB 2) menyatakan terdapat sebuah bot ronda milik ATB 2 karam di perairan berkenaan.

Menurutnya, semua kru bot telah berjaya diselamatkan oleh anggota Batalion 15 Pasukan Gerakan Am (PGA) yang sedang melaksanakan rondaan di kawasan berkenaan.
“Pihak MAWILLA 2 seterusnya mengambil tindakan segera dengan mengaktifkan Operasi Carilamat (SAR) dan SALVAGE dalam usaha mencari seterusnya menimbulkan bot berkenaan.
“Pada 8.30 pagi, 26 Januari lalu, pihak Markas ATB 2 memaklumkan bot karam itu ditemui di sekitar perairan Pulau Berhala dalam keadaan hampir karam sepenuhnya,” katanya.
Menurutnya, pasukan selam MAWILLA 2 diatur gerak menaiki Bot Tempur 215 bagi melaksanakan Operasi SALVAGE ke atas bot berkenaan.
“Kerja-kerja pelaksanaan operasi mengambil masa selama dua jam sebelum berjaya menimbulkan bot berkenaan.
“Seterusnya bot berkenaan ditunda ke Jeti Batu Sapi (JBS), Sandakan,” katanya.
Terdahulu, seramai tujuh anggota tentera ATB 2 berdepan detik cemas selepas bot ronda dinaiki mereka karam dipukul ombak.
Bagaimanapun, semua anggota tentera terbabit berjaya ditemui dengan selamat.
-Deasoka