Banjir: 38 sekolah, 10,821 murid terjejas

Banjir: 38 sekolah, 10,821 murid terjejas

Kota Kinabalu: Susulan bencana banjir yang melanda negeri ini, sebanyak 38 buah sekolah termasuk lima sekolah menengah telah dilaporkan terjejas.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Abidin Marjan berkata, ia membabitkan sekolah di empat daerah, iaitu Pitas, Beluran, Beaufort dan Kota Marudu.

Menurutnya, ia sekali gus memberi kesan kepada seramai 10,821 murid dan pelajar di negeri ini.

“Sebanyak enam buah sekolah di Pitas terjejas banjir; 18 sekolah di Beluran; empat di Beaufort dan 10 sekolah di Kota Marudu.

“Hampir kesemua sekolah yang terjejas di Sabah adalah disebabkan oleh banjir, selain ada laluan ke sekolah terputus atau tidak dapat dilalui akibat banjir,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, beberapa sekolah yang dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa banjir juga terpaksa ditutup.

Jelasnya, setakat ini, sebanyak tujuh sekolah telah dijadikan sebagai PPS, iaitu di daerah Pitas; Beluran dan Kota Marudu.

“Antara sekolah yang dijadikan sebagai PPS ialah SK Dandum; SK Rukom di Pitas dan SMK Pamol Beluran.

“Empat lagi sekolah di Kota Marudu turut dijadikan sebagai PPS, antaranya di SK Ranau, SK Taritipan, SMK Tandek dan SMK Bengkongan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|