Penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Papar

Penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Papar

Papar: Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di laluan Pan Borneo di Kilometer 13 Jalan Lama Papar, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 8.30 malam itu, mangsa berusia 57 tahun yang menunggang motosikal jenis Modenas CT100F (K2) disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Motosikal ditunggang mangsa tercampak ke parit di Laluan Pan Borneo di Kilometer 13 Jalan Lama Papar

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati sebuah kereta jenis Nissan Almera dipandu seorang lelaki berusia 36 tahun dari Kota Kinabalu menghala balik ke rumahnya di Kampung Padawan, di sini.

Katanya, pada masa itu keadaan hujan lebat dan pemandu kereta berkenaan dipercayai memandu di lorong sebelah kiri.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa seorang diri tiba-tiba berada di depan kereta berkenaan.

“Disebabkan motosikal itu terlalu hampir dengan kereta, pemandu terbabit tidak sempat menekan brek dan mengelak lalu melanggar belakang motosikal mangsa.

Kamaruddin berkata, akibat perlanggaran itu mangsa tercampak ke tengah jalan manakala motosikalnya tercampak ke parit disebelah kiri jalan dan kereta Nissan Almera turut terbabas ke parit.

Kereta jenis Almera turut tercampak ke parit

“Mangsa dikatakan menunggang motosikal menuju ke Benoni disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pembantu pegawai perubatan Hospital Papar.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Papar untuk tujuan bedah siasat,” katanya.

Tambahnya, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|