Banjir: Angka mangsa dipindahkan meningkat sedikit, Lahad Datu kembali terkesan

Banjir: Angka mangsa dipindahkan meningkat sedikit, Lahad Datu kembali terkesan

Kota Kinabalu: Setakat jam 8 pagi ini, angka mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini menunjukkan peningkatan kecil, dengan daerah Lahad Datu kembali terkesan.

Ia menjadikan enam daerah terjejas akibat banjir di Sabah sehingga ke hari ini, termasuk Paitan, Pitas, Kota Marudu, Telupid dan Tawau.

Keadaan semasa di PPS Dewan Pusat Latihan Vokasional Lahad Datu yang menempatkan mangsa banjir.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan seramai 10,347 mangsa dilaporkan pagi ini, berbanding 10,312 mangsa malam tadi.

Katanya, jumlah itu membabitkan sebanyak 3,569 Ketua Isi Rumah (KIR) yang dipindahkan ke 34 Pusat PPS di enam daerah terbabit.

“Kota Marudu kekal sebagai daerah paling terkesan dengan 7,358 mangsa dilaporkan, diikuti Pitas (2,168 mangsa) dan Paitan (668 mangsa).

“Sementara, itu Tawau melaporkan 109 mangsa, Lahad Datu (23 mangsa) dan Telupid (21 mangsa),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Dewan Pusat Latihan Vokasional Lahad Datu menjadi PPS terkini yang diaktifkan di Lahad Datu, menempatkan seramai 23 mangsa daripada lima KIR.

Terdahulu, pada Khamis, situasi banjir di Lahad Datu telah diisytihar pulih susulan penutupan satu-satunya PPS yang beroperasi, iaitu PPS Dewan SMK Terusan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|