Kami kekal sebagai ahli GRS, tidak sertai Gagasan Rakyat – Armizan

Kami kekal sebagai ahli GRS, tidak sertai Gagasan Rakyat – Armizan

Kota Kinabalu: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata statusnya kekal sebagai ahli Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, beliau tidak akan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang bakal diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Status kami kekal sebagai ahli kepada GRS dan kita tidak akan menyertai parti baharu, Gagasan Rakyat kerana undang-undang tidak membenarkan.

“Oleh itu, kita akan kekal sebagai ahli melalui keahlian langsung sebagaimana sebelum pilihan raya, kita telah menjadi ahli secara langsung kepada GRS,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penutupan Konvensyen Mahasiswa GRS dan Pelancaran Sayap Pelajar GRS, di Hotel Raia, hari ini.

Beliau berkata demikan ketika ditanya mengenai statusnya selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menguggurkan keahlian beliau dan tiga ahli Parlimen lain.

Sementara itu, ditanya mengenai tindakan Bersatu yang akan merujuk keputusan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul yang memutuskan mereka tidak perlu mengosongkan kerusi ke mahkamah, Armizan berkata ia diserahkan kepada pihak mahkamah.

“Kita serahkan kepada mahkamah untuk memutuskan, itu hak mereka.

“Walaupun Speaker Dewan Rakyat telah membuat keputusan sebab di dalam perundangan Persekutuan, itu jelas bahawa hak dan juga keputusan itu adalah pada Speaker.

“Sekiranya pihak-pihak yang berkenaan masih tidak berpuas hati, maka itu hak mereka untuk mengajukan perkara itu kepada platform lain,” katanya.

Tambah beliau, setakat ini, pihaknya masih belum menerima sebarang notis berkenaan perkara itu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|