MAFS tambah usaha tangani kekurangan bekalan daging

MAFS tambah usaha tangani kekurangan bekalan daging

Tawau: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) akan mempergiatkan usaha untuk menangani isu kekurangan bekalan daging seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata ia termasuk daging kambing, lembu dan babi yang ketika ini 80 peratus masih bergantung kepada bekalan import.

Beliau berkata, perkara itu tidak seharusnya berlaku memandangkan negara mempunyai kemampuan untuk menghasilkan bekalan daging yang mampu memenuhi keperluan rakyat.

“Apa yang kita tahu di Malaysia ini termasuk Sabah, kita masih import daging lebih daripada 80 peratus sama ada kambing atau lembu ataupun babi.

“Usaha sedang kita lakukan bagaimana mengatasinya terutama kekurangan bekalan daging, sedangkan kita di Malaysia ini mempunyai tanah yang luas dan rumput itu penuh di tepi jalan tapi binatang ternak tak cukup,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada program santai bersama kepimpinan Parti Amanah Negara (AMANAH) Zon Tawau, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata kementeriannya akan menggiatkan usaha untuk mencari jalan penyelesaian menangani masalah berkenaan termasuk menggalakkan bidang penternakan secara komersial.

“Antara usaha yang dilakukan ialah menyediakan geran bantuan kepada pengusaha yang berminat menceburi bidang penternakan. MAFS juga akan bekerjasama dengan Agrobank bagi mencapai matlamat itu,” katanya.

Dalam hal lain, Mohamad menerima 240 borang keahlian baharu AMANAH daripada bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan ahli Parti Pejuang kawasan Kalabakan dan Tawau.

Hadir sama wakil kepimpinan PKR dan DAP Tawau serta Kalabakan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|