Pelaksanaan e-LKM, e-LMM sejajar sistem pendigitalan JPJ

Pelaksanaan e-LKM, e-LMM sejajar sistem pendigitalan JPJ

Tawau: Langkah memperkenalkan Lesen Kenderaan Motor Digital (e-LKM) dan Lesen Memandu Malaysia Digital (e-LMM) sejajar usaha ke arah sistem pendigitalan sepenuhnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, sistem baharu itu tidak menyusahkan mana-mana pihak sebaliknya mampu memberi impak positif sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Sebahagian penerima lesen B2 Program Bantuan Lesen Memandu MyLesen Parlimen Kalabakan.

Katanya, sistem itu dilaksanakan secara berfasa dan boleh diakses melalui MyJPJ atau portal awam JPJ yang akan memudahkan pengguna, memberi kemudahan lebih praktikal kepada penguatkuasa dan mengelak berlaku isu ketirisan serta rasuah.

“Kita hanya perlu buka telefon, semua ada dalam digital, dalam bentuk online dan urusan pembaharuan pun boleh dibuat secara online. Di pihak penguatkuasa pula kita ada alat SmED iaitu Smart Enforcement Device untuk mengesan maklumat lengkap pemandu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutupan Program Bantuan Lesen Memandu MyLesen Peringkat Parlimen Kalabakan di Dewan Masyarakat Tawau, di sini, hari ini.

Katanya, seramai 241,000 pemegang LMM dan 1.14 juta LKM seluruh negara yang tamat tempoh pada Februari ini menjadi perintis kepada pelaksanaan sistem berkenaan.

“Jika ada yang masih tidak selesa dengan teknologi maklumat, masih menggunakan telefon bimbit, kita masih membenarkan mereka menggunakan cukai jalan fizikal hingga hujung tahun ini.

“Mereka juga boleh mencetak lesen digital dan simpan di kenderaan jika risau berlaku isu talian internet,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan sistem itu lebih memudahkan kerana JPJ tidak perlu membuka banyak kaunter sekali gus membolehkan anggota ditugaskan ke bahagian lain khususnya penguatkuasaan dan advokasi.

Seramai 490 peserta berjaya mendapatkan LMM kategori B2 pada Program Bantuan Lesen Memandu MyLesen Peringkat Parlimen Kalabakan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|