Cukuplah jadi buruan parti politik selama 3 tahun – Masiung

Cukuplah jadi buruan parti politik selama 3 tahun – Masiung

Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah menegaskan beliau tidak lagi mahu menjadi buruan parti-parti politik selepas kira-kira tiga tahun berstatus ADUN Bebas.

Katanya, atas sebab itulah beliau mengambil keputusan menyertai dan menerima jawatan Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), parti baharu yang diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Saya tidak akan menoleh kiri dan kanan lagi, cukuplah jadi buruan parti-parti politik selama tiga tahun.

“Kali ini saya bukan lagi wakil Bebas. Saya sudah sah menerima jawatan Naib Presiden PGRS (Gagasan Rakyat),” katanya ketika ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, semalam.

Beliau yang mengetuai rombongan pegawai kerajaan dan pemimpin tempatan dari Tongod baru balik dari lawatan enam hari di Manila, Filipina.

Sebelum ini, wujud spekulasi kononnya beliau enggan menerima jawatan tertinggi parti tempatan yang diambil alih bekas pemimpin BERSATU Sabah itu.

Ketika diminta untuk mengulas mengenai perkara berkenaan, beliau meminta agar semua pihak tidak mendengar khabar angin.

“Jangan dengar khabar angin… kepercayaan Ketua Menteri kepada saya dalam PGRS harus digalas dengan penuh amanah,” tegasnya.

Tambahnya, beliau tidak mengetahui spekulasi tersebut kerana berada di luar negara hampir seminggu.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut selama empat penggal sejak 2008 itu berazam memainkan peranan aktif membantu pucuk pimpinan parti tempatan itu di peringkat negeri dan nasional.

“Saya merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri yang juga Presiden PGRS kerana membawa saya dalam wadah perjuangan baharu.

“Saya berazam melakukan yang terbaik membantu presiden dan kepimpinan tertinggi untuk memperkasakan parti,” katanya.

Masiung turut menzahirkan penghargaan kepada warga Kuamut yang sentiasa menyokong dan memberi peluang kepadanya menentukan hala tuju politik.

Pemimpin berusia 51 tahun itu memenangi DUN Kuamut atas tiket Bebas ketika Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) pada September 2020 .

Beliau kemudian mengambil pendirian mesra kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebelum dilantik Pengerusi GRS Parlimen Kinabatangan pada Julai 2022.

Sebelum ini, Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) itu pernah ditawarkan beberapa jawatan tertinggi parti tempatan dan nasional, namun menolaknya.

Masiung kekal sebagai ADUN Bebas sehingga dilantik sebagai Naib Presiden Gagasan Rakyat seperti diumumkan Ketua Menteri minggu lalu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|