MCA Sabah sokong Hajiji

MCA Sabah sokong Hajiji

Kota Kinabalu: MCA Sabah menyatakan pendiriannya menyokong kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor untuk terus mengetuai kerajaan negeri.

Pengerusinya, Lu Yen Tung, berkata pendirian itu diputuskan MCA Sabah yang bermesyuarat pada 11 Januari lalu sebelum disahkan pada mesyuarat Jawatankuasa Pusat MCA, hari ini.

Beliau berkata, pendirian itu sejajar dengan langkah Kerajaan Negeri Sabah yang dibentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyokong Kerajaan Perpaduan di peringat persekutuan.

“MCA Sabah juga berpendirian sama dengan MCA Pusat yang menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan.

“MCA Sabah akan memainkan peranan dengan baik sebagai jambatan penghubung di antara kerajaan negeri dan rakyat dalam membantu kerajaan negeri melaksanakan perancangan demi kebaikan rakyat.

“Kami juga akan bersuara untuk rakyat bagi memastikan prinsip kepelbagaian, kesederhanaan dan kesaksamaan terpelihara dalam menjaga kebajikan keseluruhan rakyat Sabah, selain berusaha untuk pembangunan ekonomi negeri supaya rakyat Sabah mendapat manfaat daripadanya,” katanya dalam satu kenyataan.

Yen Tung berkata MCA Sabah tidak pernah terbabit dalam sebarang usaha untuk menggulingkan kerajaan negeri pimpinan Hajiji.

Jelasnya, selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Jawatankuasa Pusat MCA memberikan MCA Sabah autonomi yang lebih besar.

“MCA Sabah memahami dan menggunakan kuasa autonomi ini untuk memainkan peranan sendiri dalam politik tempatan Sabah secara aktif bagi menjaga kepentingan dan hak rakyat Sabah.

“MCA Sabah juga menyeru semua rakyat Sabah agar mengetepikan perbezaan dan terus kekal bersatu di bawah pimpinan Ketua Menteri untuk menggalakkan pembinaan dan pembangunan negeri supaya Sabah boleh bergerak ke arah kemakmuran dan kemajuan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|