Kes wanita ditemui maut dalam kereta diklasifikasikan mati mengejut

Kes wanita ditemui maut dalam kereta diklasifikasikan mati mengejut

Keningau: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau mengesahkan, kes wanita yang ditemui meninggal dunia dalam kereta di kawasan Kebun, Jalan Sinurambi, Tambunan, sebagai kematian mengejut.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung kes berkenaan pada jam 2.54 pagi, semalam.

Katanya, maklumat orang awam mengatakan telah menjumpai seorang wanita tidak sedarkan diri di dalam kereta jenis Perodua Axia berwarna merah.

“Siasatan awal pihak polis di tempat kejadian mendapati kereta berada dalam keadaan berkunci dan telah dibuka oleh pihak bomba.

“Mangsa wanita itu didapati dalam keadaan terbaring di tempat duduk pemandu sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Nor Rafidah berkata, polis turut menemui arang yang telah dibakar dan diletakkan di sebelah tempat duduk penumpang kenderaan berkenaan.

“Polis bagaimanapun tidak menemui sebarang unsur jenayah pada mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

“Mayat mangsa sudah dihantar ke hospital Keningau untuk proses bedah siasat bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|