Lima ADUN BN Sabah perlu tenang, jangan belakangi parti

Lima ADUN BN Sabah perlu tenang, jangan belakangi parti

Kota Kinabalu: Tindakan lima ADUN BN Sabah yang mengambil langkah menyokong pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah dilihat membelakangi prinsip partisan.

Menurut Ketua Penerangan BN Sabah, Datuk Raime Unggi, tiada yang lebih besar daripada parti itu sendiri memandangkan kelahiran mereka sebagai pemimpin adalah bertunjangkan kepada perjuangan parti.

“Saya memahami jika ada yang tidak berpuas hati memandangkan kita ini manusia yang tidak sempurna.

“Namun demikian, apa yang saya mahu sampaikan, tiada yang lagi besar daripada parti, pemimpin itu datang dan pergi, kita sudah berhempas pulas untuk menaikkan semula imej parti BN Sabah sejak pasca PRU-14.

“Harus diingat, pembinaan semula imej BN Sabah tatkala kita hilang kawan yang berhijrah parti, ditinggalkan, diherdik dan dikatakan macam-macam, kita masih setia untuk memperjuangkan naratif BN di Sabah, “katanya.

Menurut Raime, lima ADUN BN yang dimaksudkan juga diharap bekerjasama untuk mengadakan perbincangan dalam menyelesaikan perkara ini.

Terdahulu, ADUN Tg Keramat, Datuk Shahelmey Yahya, Datuk Jasnih Jaya (Pantai Dalit), Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Dr Yusuf Yacob (Sindumin) dan Datuk Arshad Bistari (Tempasuk) telah membuat satu kenyataan bersama menolak langkah UMNO/BN Sabah untuk menarik diri daripada pentadbiran kerajaan GRS/BN.

Kesemua ADUN berkenaan turut menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Datuk Seri Hajiji Noor selaku Ketua Menteri Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|