Jangan sombong, UMNO Sabah tidak tunduk desakan

Jangan sombong, UMNO Sabah tidak tunduk desakan

Kota Kinabalu: Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang menentang keputusan parti tidak wajar mengeluarkan kenyataan mendesak Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin meletak jawatan.

Naib Ketua UMNO bahagian Beaufort Awang Damit Jion berkata, selain tidak berhak berbuat demikian, lima ADUN terbabit sepatutnya tahu bahawa keputusan parti itu dibuat menerusi sokongan majoriti dan bukannya oleh Bung Moktar sendiri.

Katanya, UMNO Sabah tidak akan tunduk terhadap desakan mereka, sebaliknya akan terus berusaha mengukuhkan parti yang sedikit terjejas disebabkan tindakan lima ADUN terbabit.

“Walaupun tidak menyokong keputusan parti, tidak bermakna mereka boleh mendesak sewenang-wenangnya meminta Datuk Seri Bung Moktar meletak jawatan, jangan bersikap sombong.

“UMNO ada peraturan, kita ada cara bagaimana untuk membuat keputusan parti, bukannya dibuat oleh seorang individu. Sebaliknya ia adalah keputusan sebulat suara atau majoriti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau memberi maklum balas terhadap kenyataan lima ADUN UMNO terbabit yang antara lain mendesak Bung Moktar mengundur diri kerana kesal dengan tindakan menarik UMNO Sabah keluar dari kerajaan negeri hingga sekali lagi mengheret Sabah dan rakyatnya ke dalam krisis politik yang tidak bertanggungjawab.

Awang Damit berkata, lima ADUN itu patut bersyukur kerana kemenangan mereka diperoleh atas sokongan dan keyakinan rakyat kepada UMNO / Barisan Nasional (BN).

Menurut beliau tindakan, mereka itu membuktikan mereka bukan sahaja tidak menghormati ketua tetapi tiada kesetiaan dalam parti selain mereka lebih mengutamakan kepentingan peribadi.

Lima ADUN UMNO terbabit ialah Datuk Ir Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Dr Yusuf Yacob (Sindumin) dan Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk).

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Kinabatangan, Kasman Min mendakwa tindakan lima ADUN terbabit enggan menyokong keputusan parti disebabkan term犀利士 akan imbuhan yang ditawarkan kepada mereka agar menyokong Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Mereka menolak keputusan UMNO dan BN Sabah kerana dijanjikan jawatan serta imbuhan. Mustahil tiada apa-apa ditawarkan kepada mereka bagi memastikan rancangan mengekalkan Hajiji berjaya,” katanya.

Namun begitu Kasman mengingatkan, kedudukan lima ADUN terbabit yang ada sekarang adalah atas jasa UMNO dan BN kerana mereka memegang tiket parti itu.

Jelasnya, tanpa UMNO dan BN, mereka mungkin tidak berada pada tahap mereka sekarang.

“Atas sebab itu, janganlah meninggikan suara kononnya tindakan parti adalah salah sedangkan UMNO dan BN lah tempat mereka bernaung selama ini,” katanya.

Beliau turut mempertikaikan tindakan lima ADUN terbabit yang sanggup menyokong Hajiji walaupun tahu kedudukan Ketua Menteri itu dipertikaikan kerana tidak berparti.

“Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tempat beliau bernaung sekarang bukan sebuah parti, ia adalah sebuah gabungan parti. Sudah jelas kedudukan Ketua Menteri itu tidak lagi sah selepas keluar dari BERSATU,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|