Banjir: Mangsa banjir Sabah cecah 1,421 orang

Banjir: Mangsa banjir Sabah cecah 1,421 orang

Kota Kinabalu: Jumlah mangsa terjejas banjir di Sabah melepasi paras 1,000 orang, dengan seramai 1,421 mangsa dilaporkan setakat jam 8 malam ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan bahawa jumlah itu membabitkan sebanyak 495 Ketua Isi Rumah (KIR) daripada empat buah daerah.

Sekitar proses pemindahan mangsa banjir daripada Kampung Taka, Pitas, hari ini.

Kota Marudu mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 806 mangsa, diikuti dengan Kudat (381 mangsa), Paitan (155 mangsa) dan Pitas (79 mangsa).

“Kesemua mangsa yang terjejas telah dipindahkan ke 17 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang telah diaktifkan di daerah-daerah berkenaan.

“Tiga PPS dengan jumlah mangsa tertinggi ialah Dewan Kg Asin-Asin (357 mangsa) dan Dewan Komuniti (248 mangsa) di Kota Marudu serta Dewan SK Sikuati (322 mangsa) di Kudat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, berdasarkan kenyataan itu, terdapat enam buah PPS yang masih dalam proses pemurnian data oleh pihak berwajib.

Sehubungan itu, trend situasi semasa banjir di negeri ini terus mencatat peningkatan dengan pertambahan jumlah mangsa di PPS.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|