Kota Kinabalu: Tujuh anggota tentera Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) berdepan detik cemas selepas bot ronda dinaiki karam dalam kejadian di perairan Pulau Nunuyan, Sandakan, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, semua mangsa dilaporkan terapung lebih tiga jam sebelum diselamatkan anggota Batalion 15 Pasukan Gerakan Am (PGA).
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, siasatan awal mendapati, bot ronda Viper 7 itu bertolak dari Pulau Bakungan Kecil ke Jeti Markas ATB 2 Batu Sapi, Sandakan.
Katanya, ia bertujuan untuk pengisian minyak logistik dan menjalankan aktiviti kebajikan anggota.
“Bagaimanapun, ketika berada berhampiran laut Pulau Nunuyan, bot ronda berkenaan dipukul ombak besar hingga menyebabkannya karam.
“Semua mangsa akhirnya berjaya diselamatkan oleh sebuah bot ronda PGA Batalion 15 dan Bor PAC 66 pada jam 2.50 petang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, semua mangsa kemudiannya dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan untuk rawatan dan seterusnya proses dokumentasi.
-Deasoka