PRU15: Timbang beri subsidi tambang kapal terbang kepada pelajar pulang mengundi

PRU15: Timbang beri subsidi tambang kapal terbang kepada pelajar pulang mengundi

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri akan memperhalusi cadangan pemberian subsidi tambang kapal terbang kepada mahasiswa Sabah yang berada di Semenanjung untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beliau memandang serius perkara itu kerana ia mampu menggalakkan generasi muda untuk memainkan hak dan tanggungjawab mereka sebagai rakyat.

“Terdapat cadangan daripada beberapa pihak terutamamya para siswa siswi mahupun rakyat Sabah yang tinggal di Semenanjung yang mungkin mahu pulang mengundi. Perkara ini kita akan perhalusi nanti.

Hajiji pada Majlis Pelancaran Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (SEMESTA) di SICC, Kota Kinabalu.

“Setakat ini belum ada apa-apa lagi yang kita dapat umumkan, tapi kita mahu juga mereka menjalankan hak mereka untuk mengundi sebagai rakyat dan juga sebagai pengundi dalm PRU15 akan datang ini,” katanya pada Majlis Pelancaran Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (SEMESTA) di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini.

Hajiji berkata, penubuhan SEMESTA bertujuan untuk mengkordinasi persatuan-persatuan mahasiswa yang terdapat di Institut Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara.

“Penubuhan sekretariat ini akan memudahkan penyelarasan dan juga penyampaian pandangan serta pemberian bantuan kepada para mahasiswa kita, di mana sahaja mereka berada, sama ada di Malaysia termasuk juga di luar negara,” katanya.

Pada majlis itu, Hajiji turut menyampaikan bantuan BAIK kepada pelajar IPT dan bantuan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA) kepada empat penerima.

Dalam majlis yang sama, beliau turut menyampaikan Bantuan Ihsan Komputer (BAIK 2.0) dan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA).

Sementara itu, Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Arifin Arif berkata, sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan inisiatif BAIK 2.0.

Jelasnya, beliau sasaran penyampaian BAIK 2.0 mampu dicapai menjelang akhir tahun ini, iaitu sebanyak 600 penerima.

“Ramai yang mohon tapi kita akan tapis mengikut kesesuaian dengan kelayakannya, keutamaan akan diberikan kepada penerima eKasih dan mereka yang berpendapatan RM3,000 ke bawah.

“Bagi mereka yang tidak dapat mendaftar di eKasih namun tergolong dalam kategori pendapatan itu, juga boleh mendaftar. Namun, dengan syarat mereka mendapatkan tandatangan daripada ketua kampung,” katanya lagi.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong dan Pembantu Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan, Datuk Fairuz Renddan.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|