Polis siasat kesahihan video perempuan dibelasah

Polis siasat kesahihan video perempuan dibelasah

Kota Kinabalu: Polis sedang menjalankan siasatan kesahihan video tular di media sosial, sejak semalam yang memaparkan seorang perempuan dibelasah seorang lelaki yang didakwa berlaku di sebuah kompleks beli belah di bandar raya ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pihaknya sudah mengambil maklum perkara berkenaan dan menjalankan siasatan terperinci berhubung video tular berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah

“Polis belum menerima sebarang laporan polis mengenai kejadian itu dan belum dapat mengesahkan kejadian itu berlaku di Kota Kinabalu atau sebaliknya.

“Bagaimanapun polis sedang menjalankan siasatan mengenai video tular berkenaan dan sudah mengarahkan semua elemen termasuk Ketua Polis Balai di daerah ini untuk mendapatkan maklumat berkenaan kejadian, lokasi dan pelakunya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Zaidi berkata, pihaknya meminta kerjasama daripada semua pihak untuk tampil memberi maklumat berkenaan kejadian itu untuk membolehkan polis menjalankan siasatan dan menangkap pelakunya.

Terdahulu tular sebuah video di media sosial yang memaparkan tindakan seorang lelaki menampar dan menendang seorang perempuan sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai.

Menerusi video berdurasi 18 saat itu, lelaki terbabit menampar muka perempuan terbabit termasuk menggunakan selipar berkali-kali, selain menendang bahagian pinggangnya.

Perempuan itu hanya menangis menahan kesakitan dengan memegang kepalanya di tepi dinding bangunan.

Rata-rata pengguna media sosial mengecam tindakan lelaki terbabit kerana terlalu ganas.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|