PRU15: UPKO umum calon di lima kawasan Parlimen

PRU15: UPKO umum calon di lima kawasan Parlimen

Penampang: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mengumumkan bakal bertanding di lima kawasan Parlimen di negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Lima kawasan parlimen yang bakal ditandingi kali ini adalah Tuaran, Penampang, Beluran, Kimanis dan Libaran.

Presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, beliau sendiri diberi mandat untuk bertanding dan mempertahankan kerusi Parlimen Tuaran.

Katanya, naib presiden UPKO Datuk Ewon Benedick yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian pula akan bertanding di Parlimen Penampang.

“Dua lagi calon adalah Ketua Pemuda UPKO Pusat, Felix Joseph Saang yang bakal bertanding di Parlimen Beluran dan Ketua Bahagian Libaran Dr Peter Jr Naintin yang bertanding di Parlimen Libaran.

“UPKO turut mencalonkan seorang calon wanita buat kali pertama untuk kerusi Parlimen dengan meletakkan Setiausaha Pergerakan Wanita UPKO Pusat, Rowindy Lawrence sebagai calon untuk Parlimen Kimanis,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat UPKO, di sini, hari ini.

Madius berkata, semua perletakkan calon ini dibuat hasil perbincangan dan rundingan yang dilakukan sesama komponen Pakatan Harapan (PH).

Katanya, PRU kali ini sudah pasti menjadi penentu kepada hala tuju negara dan sudah menjadi misi PH untuk menyelamatkan negara daripada pelbagai krisis ketika ini.

“Kita mahu membawa negara ke arah yang lebih makmur dan sejahtera untuk dinikmati rakyat berbilang kaum dan agama.

“Ini termasuk krisis sosioekonomi rakyat, tadbir urus negara selain menyelamatkan negara dari penyelewengan, salah guna kuasa dan amalan rasuah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|