PRU15: PKR, DAP dominasi kerusi PH

PRU15: PKR, DAP dominasi kerusi PH

Kota Kinabalu: Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP menguasai lebih separuh daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah dalam blok Pakatan Harapan (PH) negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Setakat ini, difahamkan PKR bakal bertanding di 11 kerusi termasuk dua kerusi yang disandang parti itu, manakala tujuh kerusi ditandingi DAP termasuk tiga yang disandangnya.

Ia menjadikan 18 kerusi dikuasai kedua-dua parti itu, manakala bakinya, lima kerusi diagihkan kepada Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) serta masing-masing satu kerusi untuk Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

PKR akan mempertahankan kerusi Parlimen Tawau dan Putatan yang masing-masing disandang Pengerusi PH Sabah, Datuk Christina Liew dan Naib Presiden PKR, Awang Hussaini Sahari.

Kerusi lain yang bakal ditandingi parti itu ialah Beaufort, Pensiangan, Ranau, Sepanggar, Kota Belud, Kudat, Kinabatangan, Semporna dan Kalabakan.

DAP pula mengesahkan tiga kerusi disandangnya iaitu Kota Kinabalu, Sandakan dan Tenom bakal dipertahan penyandangnya, masing-masing oleh Chan Foong Hin, Vivian Wong Shir Yee dan Noorita Sual.

Parti itu juga bakal bertanding di empat kerusi lain iaitu Keningau, Batu Sapi, Papar dan Lahad Datu.

Sebelum ini, UPKO mengumumkan Naib Presidennya, Datuk Ewon Benedick bakal dicalonkan di Penampang dan Presidennya, Datuk Madius Tangau akan mempertahankan kerusi Tuaran.

Selain itu tiga kerusi lain bakal ditandingi UPKO ialah Kimanis, Beluran dan Libaran, masing-masing bakal diwakili pemimpin muda parti itu.

Sementara itu, Parti Amanah Negara (AMANAH) Sabah pula mendapat satu kerusi di Parlimen Sipitang yang bakal ditandingi pengerusinya, Lahirul Latigu.

AMANAH turut diberi kepercayaan mewakili PH di Wilayah Persekutuan Labuan.

Dalam pada itu, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang baru saja melebarkan sayap ke Sabah beberapa bulan lalu turut dijangka bertanding satu kerusi atas tiket PH di negeri ini, berkemungkinan di Kota Marudu.

Keputusan rasmi calon PH Sabah dijangka diketahui lewat petang ini selepas semua parti komponennya selesai mengadakan pengumuman calon masing-masing.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|