Video lelaki tampar, tendang perempuan tular

Video lelaki tampar, tendang perempuan tular

Kota Kinabalu: Tular rakaman video seorang perempuan ditampar dan ditendang beberapa kali termasuk menggunakan selipar oleh seorang remaja lelaki sehingga mencetuskan kemarahan warganet.

Menerusi sebuah video berdurasi 18 saat itu menunjukkan remaja lelaki itu menampar beberapa kali arah muka perempuan terbabit hingga tertolak ke dinding.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah

Lelaki itu kemudian menyerangnya lagi dengan menendangnya sebelum bertindak menampar muka perempuan itu dengan selipar berkali-kali.

Perempuan itu hanya menangis menahan kesakitan sambil memegang kepalanya di tepi dinding.

Dalam kejadian itu, rata-rata netizen mengecam perbuatan lelaki terbabit kerana terlalu ganas.

Malah netizen, turut mengecam individu yang merakam kejadian itu kerana tertawa.

Setakat ini tidak dipastikan bila kejadian itu berlaku namun lokasi kejadian seperti di sebuah pusat beli belah di Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah ketika dihubungi berkata, pihaknya belum menerima sebarang maklumat atau laporan polis mengenai kejadian itu sama ada benar ia berlaku di Kota Kinabalu.

Bagaimanapun katanya, pihaknya sedang menjalankan siasatan mengenai video tular berkenaan dan meminta kerjasama dari semua pihak untuk tampil memberikan maklumat tentang kejadian itu bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan dan menangkap suspek.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|