PRU15: Hormati autonomi PH Sabah – UPKO

PRU15: Hormati autonomi PH Sabah – UPKO

Kota Marudu: Keputusan meletakkan calon Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) di Parlimen Kota Marudu membelakangkan semangat kekeluargaan dalam Pakatan Harapan (PH) Sabah.

Ketua Bahagian UPKO Kota Marudu, Jamil Majingkin berkata, berdasarkan perbincangan sebelum ini, pihaknya akur dengan keputusan pimpinan tertinggi untuk meletakkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), di parlimen berkenaan.

Malah katanya, UPKO Kota Marudu turut menetapkan pendirian untuk memberikan sokongan dan kerjasama sepenuhnya kepada calon PH yang dipilih.

“Atas dasar parti dan semangat kekeluargaan dalam PH Kota Marudu, persediaan secara terperinci termasuk jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sudah diaturgerak.

“Namun, kini khabar angin berhubung keputusan pimpinan pusat meletakkan calon MUDA bagi kerusi Parlimen Kota Marudu amat mendukacitakan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jamil berkata, sebarang perubahan atau keputusan sepatutnya dibuat dalam perbincangan antara semua komponen PH.

Katanya, calon yang diketengahkan sebelum ini adalah Ketua Cabang PKR Kota Marudu merangkap Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah.

“Kami sudah sependapat, seandainya timbul isu yang menyebabkan beliau tidak dapat bertanding pada PRU15 kali ini, UPKO sebagai komponen Pakatan Harapan adalah pilihan paling layak bertanding mewakili PH Kota Marudu.

“Saya ingin menegaskan kepada pihak kepimpinan PH Pusat agar autonomi yang dipertanggungjawabkan kepada PH Sabah kekal dihormati demi keharmonian dan kesatuan keluarga PH Malaysia,” katanya.

-Deasoka

Share

Written by:

1,657 Posts

View All Posts
Follow Me :
error: Content is protected !!