Mangsa banjir meningkat setakat jam 5 petang, seramai 3,310 masih di PPS

Mangsa banjir meningkat setakat jam 5 petang, seramai 3,310 masih di PPS

Kota Kinabalu: Jumlah mangsa banjir setakat jam 5 petang hari ini mencatat sedikit peningkatan berbanding pagi tadi iaitu daripada 3,310 mangsa kepada 3,330 di enam daerah yang terjejas akibat banjir.

Pertambahan itu berikutan sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka hari ini iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Timbangan Satu, Kota Marudu, menjadikan jumlah keseluruhan yang aktif adalah sebanyak 31 PPS.

Menurut kemas kini laporan daripada Angkatan Pertahanan Awam (APM) semua mangsa adalah terdiri daripada 1,377 ketua isi rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir.

Kota Marudu masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 2,659 mangsa terdiri daripada 1,115 KIR yang ditempatkan di 14 PPS, manakala Pitas merekodkan 307 mangsa membabitkan 127 KIR yang ditempatkan di empat PPS.

Selain itu, seramai 228 mangsa daripada 48 KIR direkodkan di lima PPS Telupid dan seramai 99 mangsa terdiri daripada 23 KIR masih berada di tiga PPS di Paitan.

Dua daerah lain kekal merekodkan mangsa banjir iaitu Sandakan dengan seramai 46 mangsa melibatkan tujuh keluarga di satu PPS manakala di Beluran 38 mangsa daripada 10 KIR yang masih berada satu PPS.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|