Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah terus memperkukuh usaha menjamin keterjaminan bekalan makanan khususnya di kawasan Sungai Sibuga meskipun berdepan kenaikan kos bahan api.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Hendrus Anding berkata, pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan melalui jabatan serta agensi berkaitan.
Menurutnya, di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sibuga, Jabatan Pertanian Sabah telah melaksanakan lima projek pembangunan tanaman makanan melibatkan keluasan lima hektar.
Katanya, projek itu merangkumi tanaman kelapa pandan, durian Musang King, mangga harum manis dan cili, selain tiga petani turut menerima geran berjumlah RM65,000 di bawah program pembangunan usahawan dan industri makanan.
“Nilai jualan terkumpul yang direkodkan adalah sebanyak RM280,000 pada tahun 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Sungai Sibuga berhubung strategi kerajaan negeri dalam memastikan bekalan makanan kekal mencukupi di Sabah.
Dalam masa sama, Hendrus berkata Jabatan Perikanan turut merangka beberapa program termasuk peningkatan penghasilan akuakultur marin dan air tawar, pengukuhan pengusaha serta nelayan, selain pembangunan industri pembenihan.
Katanya, program lain termasuk bantuan kepada penternak skala kecil, pengusaha spesies bernilai tinggi, inisiatif ekonomi biru serta pengukuhan produk hiliran perikanan bagi meningkatkan sosioekonomi nelayan B40.
Selain itu, beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah turut melaksanakan langkah memperkukuh rantaian bekalan makanan ternakan tempatan.
“Ini termasuk penyediaan insentif, latihan kecekapan ladang, penyelidikan teknologi serta pemerkasaan rantaian bekalan bagi mengurangkan kos operasi dan kebergantungan kepada input import,” katanya.
