Kota Kinabalu: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan empat Rang Undang-Undang (RUU) bagi memperkemas sistem perundangan negeri.
RUU berkenaan ialah RUU Hari Kelepasan (Pindaan) 2026, RUU Pengangkatan (Pindaan) 2026, RUU Pengurusan Bangunan 2026 serta RUU Tanah (Hak Milik Subsidiari) 2026.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Lumai @ Bangkuai berkata pindaan RUU Hari Kelepasan dibuat bagi memperjelas pelaksanaan cuti gantian apabila berlaku pertindihan hari kelepasan am pada Ahad.
“Melalui pindaan ini, sekiranya hari gantian bertindih dengan satu lagi hari kelepasan am pada Ahad, ia akan secara automatik dibawa ke hari berikutnya.
“Ia memastikan pelaksanaan cuti gantian lebih teratur, konsisten dan tidak menimbulkan kekeliruan kepada penjawat awam serta masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Menteri Wanita dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki berkata pindaan terhadap Ordinan Pengangkatan 1960 dibuat bagi membolehkan Enakmen Pengangkatan Orang Islam 2024 dilaksanakan dan dikuatkuasakan.
Katanya, pindaan Seksyen 23 ordinan itu perlu kerana sebelum ini ia menghalang pemakaian undang-undang lain berkaitan pengangkatan anak dalam kalangan umat Islam.
“Pindaan ini memberi ruang kepada Mahkamah Syariah mengendalikan urusan pengangkatan termasuk menetapkan syarat serta proses berkaitan,” katanya.
Dalam masa sama, RUU Pengurusan Bangunan 2026 bertujuan mewujudkan sistem pengurusan bangunan yang lebih tersusun, telus dan berkesan.
RUU Tanah (Hak Milik Subsidiari) 2026 pula memperkenalkan kerangka perundangan lebih menyeluruh dan moden, termasuk kewajipan permohonan pecah bahagi serta penalti lebih tegas terhadap ketidakpatuhan.
Kelulusan keempat-empat RUU itu dilihat sebagai langkah kerajaan negeri dalam memperkukuh tadbir urus serta melindungi kepentingan rakyat.
