Rakyat patut marah kerana disusahkan kerenah birokrasi – Bung Moktar

Rakyat patut marah kerana disusahkan kerenah birokrasi – Bung Moktar

Tongod: Rakyat patut marah jika urusan mereka tidak dipermudahkan disebabkan kerenah birokrasi, terutama di daerah yang kebanyakan penduduknya datang dari jauh untuk berurusan dengan jabatan kerajaan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata rakyat bukan saja marah kepada kerajaan, malah wakil rakyat kerana merasakan mereka tidak dibantu dengan sewajarnya.

Bung Moktar bersama Mohd Jasmin dan Ir Ali Ahmad meninjau keadaan jalan runtuh di Batu 25, Sandakan.

“Rakyat datang dari jauh (untuk berurusan di pejabat kerajaan), tambangnya RM20 hingga RM30. Hari ini tidak selesai, kita suruh datang esok. Esokpun tidak selesai.

“Rakyat tidak boleh tunggu. Dia akan marah kerajaan, dia marah wakil rakyat, macam-macam dia marah tetapi memang patutpun sebab pendapatan dia berapa saja.

Bung Moktar mendengar taklimat pelaksanaan projek Bekalan Air Luar Bandar Loji Lanong di Kampung Napagang, Tongod.

“Justeru karenah birokrasi dalam sistem penyampaian kita perlu diubah bagi mempermudahkan urusan rakyat,” katanya selepas mendengar taklimat pembangunan daerah Tongod oleh Pegawai Daerah, Mohd Fauzi Norbeh sempena lawatan kerjanya ke daerah ini, hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Arifin; Pembantu Menteri Kerja Raya negeri, Datuk Limus Jury; Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya, Datuk Mohd Jasmin Juplin; Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Datuk Ir Ali Ahmad Hamid dan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Edward Lingkapo.

Bung Moktar memberikan amanat pada Majlis Taklimat Pembangunan Daerah Tongod.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata penjawat awam sebagai wakil kerajaan di daerah perlu pantas dan mengelakkan pelaksanaan pembangunan dan urusan orang ramai tertangguh yang boleh mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat.

Jelasnya, perubahan sistem penyampaian yang lebih cekap dan efisien mampu memacu sesebuah daerah ke arah yang lebih baik selain membantu rakyat keluar daripada kepompong kemiskinan termasuk di daerah ini yang tersenarai antara daerah yang termiskin di seluruh negara.

“Kita perlu memudahkan sistem penyampaian kita supaya kita dapat membangunkan semua 27 daerah di Sabah dan negeri ini keseluruhannya,” katanya.

Sehubungan dengan itu juga, Ahli Parlimen Kinabatangan itu menggesa Pegawai Daerah di seluruh negeri supaya lebih proaktif dalam merancang dan melaksanakan pembangunan di daerah masing-masing untuk kepentingan rakyat.

Tambahnya, penjawat awam di peringkat daerah perlu mengubah cara bekerja agar dapat memberi perkhidmatan terbaik dan efisien kepada rakyat, terutama di luar bandar.

“Semuanya ini boleh dilaksanakan jika kita semua ada kemahuan, komitmen dan perancangan. Saya mahu pastikan Sabah terkeluar daripada (belenggu) kemiskinan.

“Saya tidak percaya Sabah tidak boleh lari daripada dilabel sebagai negeri termiskin,” katanya.

Dalam pada itu, Bung Moktar meminta Pegawai Daerah Tongod untuk mengemukakan permohonan meneruskan projek pembinaan kompleks sukan di Tongod yang tergendala sejak 2018.

Katanya, projek itu yang sepatutnya dibangunkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), perlu diteruskan bagi memenuhi janji kerajaan dahulu kepada rakyat.

Selain itu, beliau juga meminta Pegawai Daerah untuk merancang projek menaik taraf Pejabat Urusetia Daerah Tongod dan mengemukakan permohonan untuk membina pasar awam serta dewan masyarakat di daerah ini.

“Saya cukup yakin kita akan dapat peruntukan ini dan akan membantu untuk membangunkan daerah Tongod,” katanya.

Selepas mendengar taklimat pembangunan, Bung Moktar turut mengambil peluang mengadakan perjumpaan bersama pemimpin masyarakat selain melawat projek Bekalan Air Luar Bandar (BELB) di Loji Air Lanong Tongod dan jalan runtuh di Batu 25, Sandakan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|