Padah bawa minyak sawit mentah tanpa permit

Padah bawa minyak sawit mentah tanpa permit

Beluran: Tindakan pemandu lori membawa muatan 6.5 tan minyak sawit mentah tanpa sebarang permit membawa padah apabila ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 20 PGA Beluran, di sekatan jalan Pusat Pemeriksaan Daratan (RCP) Sapi Nangoh, di sini, hari ini.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, pihaknya yang sedang melakukan penugasan RCP Sapi Nangoh membuat pemeriksaan ke atas seorang lelaki yang memandu lori jenis Isuzu, jam 6.15 pagi.


Lori bawa muatan minyak sawit mentah tanpa permit ditahan di sekatan jalan RCP Sapi Nangoh, Beluran. Pix Ihsan PGA Sabah

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati pemandu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Malah kenderaan berkenaan didapati tidak mempunyai insurans dan cukai jalan.

“Seterusnya, pemeriksaan juga mendapati lori yang dipandunya membawa muatan sebanyak 6.5 tan minyak sawit mentah tanpa permit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Rani berkata, anggaran minyak sawit mentah yang dirampas bernilai RM32,500.

“Lelaki berusia 43 tahun dan lori beserta muatan ditahan dan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran untuk tindakan lanjut.

“Jumlah keseluruhan rampasan termasuk lori bernilai RM112,500,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|