KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menerusi Kementerian Pembangunan Belia, Sukan dan Ekonomi Kreatif (MYSpaCE) terus komited memperkukuh pembangunan belia serta memperkasakan ekosistem sukan di negeri ini.
Menterinya, Datuk Nizam Datuk Seri Titingan berkata, usaha berterusan akan dilaksanakan bagi menjadikan Sabah sebagai negeri sukan menerusi penambahbaikan fasiliti sukan dan pelaksanaan pelbagai program pembangunan sukan.
Menurutnya, ia selaras dengan usaha meningkatkan tahap kesihatan masyarakat di samping melahirkan atlet berprestasi tinggi yang mampu bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Dalam usaha menjadikan Sabah sebagai negeri sukan, kementerian saya akan terus mempertingkatkan penyediaan fasiliti sukan dan program-program pembangunan sukan.
“Ia sejajar dengan sasaran kementerian untuk meningkatkan tahap kesihatan masyarakat serta meningkatkan kecemerlangan atlet yang bertanding sama ada di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Dalam pada itu, Nizam berkata, kerajaan turut memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi kreatif dalam kalangan belia bagi meningkatkan taraf hidup golongan muda di negeri ini.
Katanya, penglibatan belia dalam industri berasaskan kreativiti seperti muzik, filem, makanan dan kraftangan berupaya merubah landskap kehidupan serta meningkatkan pendapatan negeri.
“Adalah menjadi hasrat tinggi kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup anak muda Sabah melalui penglibatan mereka dalam industri kreatif.
“Saya yakin jika industri ini dikembangkan, ia bukan sahaja mengubah kehidupan belia tetapi turut meningkatkan pendapatan negeri,” katanya.
Selain itu, beliau berkata Kementerian MYSpaCE turut melaksanakan pelbagai program pembangunan kepimpinan belia berimpak tinggi termasuk Felo SMJ, Dewan Undangan Belia, Majlis Perundingan Belia Negeri (MPBN) serta Sukarelawan SMJ.
Menurutnya, semua inisiatif itu adalah sebahagian usaha kerajaan negeri dalam memperkasa golongan belia secara menyeluruh dari aspek sukan, kepimpinan dan ekonomi kreatif.
