Covid-19 Sabah: Ibu bapa mungkin punca kanak-kanak dijangkiti

Covid-19 Sabah: Ibu bapa mungkin punca kanak-kanak dijangkiti

Kota Kinabalu: Kelalaian ibu bapa dipercayai menjadi punca kanak-kanak belum layak divaksin dijangkiti virus Covid-19 dengan jumlah yang dikesan positif mencatat peratusan yang agak tinggi.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata bagi catatan hari ini saja, sebanyak 17.4 peratus daripada 258 kes yang direkodkan di Sabah terdiri daripada kanak-kanak belum layak divaksin.

Katanya, situasi itu boleh dikaitkan dengan sikap segelintir individu sudah lengkap vaksin yang mungkin beranggapan mereka kebal daripada jangkitan Covid-19 kerana berstatus ‘lengkap vaksin’.

“Adalah diperhatikan bahawa sekitar 70 peratus daripada kes baharu setiap hari melibatkan mereka yang sudah lengkap divaksin. Ia memberi gambaran seolah- olah ramai daripada mereka ini beranggapan sudah kebal daripada jangkitan.

“Anggapan ini bukan sahaja salah tetapi mereka tidak sedar bahawa mereka boleh menjangkiti pula anak-anak mereka di rumah yang belum layak divaksin.

“Sebanyak 17.4 peratus kes hari ini adalah dalam kalangan kanak-kanak yang belum layak menerima vaksin. Beringatlah, ibu bapa boleh menjadi pembawa virus dan menjangkiti anak-anak mereka di rumah yang masih kecil,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Sementara itu, Masidi berkata kes Covid-19 di Sabah melonjak tinggi hari ini dengan peningkatan sebanyak 97 kes menjadikan jangkitan baharu berjumlah 258 kes.

Katanya, sebanyak 10 daerah merekodkan kes pada kadar dua angka dengan Penampang mencatat kes tertinggi di Sabah iaitu 49 kes, diikuti Kota Kinabalu (32 kes), Tuaran (22 kes) dan masing-masing 19 kes di Kota Marudu serta Kota Belud.

“Daerah Penampang juga mencatat peningkatan kes baharu tertinggi iaitu naik 30 kes hari ini berbanding semua daerah lain di Sabah.

“Sebanyak 12 daerah pula mencatatkan kes satu angka dan lima (5) daerah lagi tidak merekod sebarang kes baharu pada hari ini,” katanya.

Masidi berkata, seramai 252 orang daripada 258 kes pada hari ini berada dalam Kategori 1 dan 2, manakala tiada kes dalam Kategori 3, diikuti tiga kes dalam Kategori 4 dan satu kes dalam Kategori 5.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 4 Januari 2022
Sabah 258 (161)

Penampang 49 (19)
Kota Kinabalu 32 (37)
Tuaran 22 (19)
Kota Marudu 19 (2)
Kota Belud 19 (19)
Tenom 14 (4)
Putatan 13 (3)
Tambunan 12 (7)
Kuala Penyu 12 (2)
Keningau 11 (12)
Papar 7 (7)
Sandakan 7 (4)
Beaufort 7 (2)
Ranau 6 (17)
Lahad Datu 5 (0)
Sipitang 5 (0)
Tawau 5 (3)
Kudat 4 (3)
Beluran 3 (0)
Tongod 3 (0)
Kinabatangan 2 (0)
Nabawan 1 (0)
Semporna 0 (0)
Telupid 0 (0)
Kunak 0 (0)
Pitas 0 (1)
Kalabakan 0 (0)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes 3 Januari 2022

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|