Rastislav mula tugasan latih kecergasan pemain Sabah FC

Rastislav mula tugasan latih kecergasan pemain Sabah FC

Kota Kinabalu: Bekas jurulatih pasukan kebangsaan Mongolia, Rastislav Bozik memulakan tugas rasminya selaku jurulatih kecergasan Sabah FC bermula 1 Januari lalu.

Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, sebelum ini beliau bekerjasama bersama jurulatih berusia 44 tahun terbabit untuk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Institut Sukan Negara (ISN).

Katanya, jurulatih yang berasal dari Slovakia itu pernah bekerjasama dengannya sepanjang tempoh hampir 10 tahun.

“Ini akan memberi satu kelebihan kepada Sabah FC kerana Rasto mempunyai banyak pengalaman dalam bidang kecergasan.

“Ia sudah pasti akan memberi kelebihan dengan berkongsi kepakaran bersama-sama bagi memantapkan pasukan Sabah FC,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selesai sesi latihan yang diadakan di Stadium Likas, semalam.

Sementara itu, pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) Stuart Wilkin yang dipinjam untuk memperkuatkan pasukan mula menjalani latihan bersama-sama pasukan Sabah FC petang, semalam.

Kim Swee berkata, kehadirannya dalam pasukan sudah pasti akan menambahbaik kekuatan bahagian jentera tengah.

“Pemain ini akan memantapkan lagi jentera tengah bersama Baddrol dan Irfan serta pemain import dari Korea, Park Taesu yang diikat semula untuk musim yang keempat.

“Ini sudah pasti memberikan satu lagi saingan yang sihat kepada pasukan Sabah FC,” katanya.

Kim Swee berkata, ini adalah latihan minggu kedua Sabah FC berlatih dan beberapa lagi pemain seperti Baddrol, Rizal, Dominic serta Khairul Fahmi hanya akan bersama-sama kita pada minggu hadapan.

“Pemain-pemain import pula hanya akan hadir kemungkinan pada pertengahan atau penghujung Januari nantiz

“Namun, kita perlu meneliti kualiti para pemain import ini sebelum memutuskan siapa yang akan dipilih,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|