Kuala Penyu: Operasi mencari dan menyelamat seorang lelaki yang dikhuatiri lemas di perairan Kampung Lambidan, di sini, masih gagal menemui mangsa.
Mangsa Sharizan Sani, 39, dilaporkan hilang ketika memukat ikan kira-kira jam 8 pagi semalam, oleh ahli keluarganya yang menyedari kehilangan mangsa.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sabah berkata, operasi mencari masih giat dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi keselamatan.
Katanya, setakat ini, pasukan operasi masih belum menemuinya atau sebarang petunjuk yang boleh membawa kepada penemuan mangsa.

“Operasi pencarian hari kedua ini dijalankan bersama pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Pasukan Polis Marin (PPM).
“Operasi yang turut dibantu penduduk kampung itu dijalankan secara pencarian di permukaan air di kawasan sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, setakat ini, mangsa masih belum ditemui dan maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa.
-Deasoka