Lelaki maut ditikam, suspek diburu polis

Lelaki maut ditikam, suspek diburu polis

Penampang: Seorang lelaki maut akibat ditikam dalam kejadian di luar bangunan sebuah pusat hiburan, di Penampang Baru, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, kejadian sempat dirakam kamera litar tertutup (CCTV) pusat hiburan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, sebaik menerima makluman, sepasukan anggota dan pegawai dikerah bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, mangsa dikenalpasti seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun dan mengalami kecederaan akibat kesan tikaman objek tajam.

“Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) dan ditempatkan di Zon Kecemasan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 8.38 pagi oleh pegawai perubatan bertugas, akibat pendarahan yang teruk disebabkan tikaman objek tajam,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Haris berkata, berdasarkan rakaman CCTV, pihak polis berjaya mengenalpasti suspek terbabit yang mencederakan mangsa sehingga meninggal dunia.

Katanya, polis sudah membuka kertas siasatan berhubung kejadian ini dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Polis meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek untuk segera berhubung dengan balai polis berhampiran.

“Suspek dikenalpasti sebagai Kaw Yung Chee yang berusia 34 tahun.

“Bagaimanapun, polis meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak sahih berhubung kejadian ini sehingga boleh mengganggu siasatan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|