Pelan Induk Gas Sabah dilancarkan

Pelan Induk Gas Sabah dilancarkan

Kota Kinabalu: Pelan Induk Gas Sabah yang menjadi rujukan kerjasama dalam memacu pembangunan industri gas di antara kerajaan negeri dan PETRONAS dilancarkan hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang melancarkan pelan berkenaan di Menara PETRONAS 2 Kota Kinabalu, di sini, berkata ia menandakan satu lagi peristiwa penting bagi Sabah selepas menandatangani Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) pada 7 Disember lalu.

Hajiji (berdiri tengah) menyaksikan pemeteraian Perjanjian Induk (HOA) Bekalan Gas Asli yang ditandatangani di antara PETRONAS dan SEC.

Katanya, pelan induk itu mengetengahkan tiga peluang pelaburan utama yang berlainan ciri berkaitan sumber gas asli Sabah dengan yang pertama ialah pembinaan loji gas asli cecair (LNG) dengan kapasiti 2.0 juta tan setahun (MTPA) di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

“Kemudahan LNG, yang pertama di negeri ini juga akan memberi peluang kepada Sabah mengembangkan pengedaran LNG di seluruh negeri melalui aktiviti seperti sistem saluran paip maya, membolehkan lebih banyak perniagaan perindustrian dan komersial mengakses serta menggunakan gas asli sebagai sumber tenaga yang lebih bersih.

Hajiji (tengah) menyaksikan penyerahan Pelan Induk Gas Sabah yang menjadi rujukan kerjasama di antara kerajaan negeri dan PETRONAS. Pix ihsan Jabatan Ketua Menteri Sabah

“Kedua, kerajaan negeri juga akan mengambil peranan yang lebih menonjol dalam menerajui aktiviti pemasaran dan pengedaran gas di Sabah dengan 120 kaki padu standard sehari (MMscfd) gas akan disediakan bagi pembangunan industri utama di negeri ini. Gas asli itu akan dibekalkan dari Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) di Kimanis dan Terminal Gas Sabah di Tuaran.

“Ketiga, pelan induk ini menekankan satu set derivatif pilihan petrokimia untuk Sabah bagi menarik pelabur, yang berdasarkan keperluan pasaran dan prospek masa depan dengan memanfaatkan bahan mentah yang sedia ada di dalam negara,” katanya.

Hadir sama menyaksikan pelancaran pelan induk berkenaan ialah Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Datuk Tengku Muhammad Taufik.

Yang turut hadir ialah Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong dan Pengerusi Sabah Eenergy Corporation Sdn Bhd (SEC), Datuk Annuar Ayub.

Sempena pelancaran itu, Hajiji yang juga Menteri Kewangan I turut menyaksikan pemeteraian Perjanjian Induk (HOA) Bekalan Gas Asli yang ditandatangani di antara PETRONAS dan SEC selaku syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri berkaitan pengedaran gas asli di Sabah.

Perjanjian itu membolehkan SEC membekal 70 MMscfd gas asli, selain 50 MMscfd yang ditandatangani sebelum ini bagi kegunaan di Sabah.

Hajiji turut merasmikan Menara PETRONAS 2 Kota Kinabalu setinggi 11 tingkat bernilai RM190 juta yang terletak bersebelahan dengan Menara PETRONAS 1 di Sembulan, di sini.

Sementara itu, Hajiji berkata beberapa cadangan juga disyorkan dalam pelan induk berkenaan yang merangkumi lebih banyak aktiviti cari gali gas asli bagi memastikan bekalan yang mampan.

Turut dimasukkan ialah pelan pembangunan komprehensif untuk Sabah yang mesti dirangka bagi mewujudkan lebih banyak industri tambah nilai di Sabah termasuk pembangunan hiliran petrokimia.

“SOGIP mesti dijadikan tapak pelaburan minyak dan gas hiliran utama Sabah pada masa hadapan tetapi masih banyak kerja perlu dilakukan untuk menjadikannya lebih menarik kepada pelabur,” katanya.

Cadangan lain, katanya ialah mengenai keperluan untuk menilai bakat tempatan sedia ada dan dipertingkatkan bagi memenuhi keperluan industri minyak dan gas serta industri pembuatan dan pembinaan.

Sejajar dengan itu katanya, sebuah entiti negeri perlu dikenal pasti untuk memantau pelaksanaan cadangan
Pelan Induk Gas Sabah.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, Pelan Induk Gas Sabah diperakui Kabinet Negeri pada Oktober tahun lalu selepas kerajaan negeri dan PETRONAS melaksanakan kajian terhadap industri minyak dan gas bagi mendapatkan pulangan ekonomi jangka panjang untuk Sabah dan rakyatnya.

“Ia adalah bukti usaha kolaboratif di antara kedua-dua pihak untuk meneruskan potensi penuh industri gas asli domestik secara mampan.

“Kerjasama PETRONAS dalam Pelan Induk Gas Sabah amat kami hargai, termasuk dalam usaha untuk merangsang ekosistem pelaburan yang menarik dan berdaya saing untuk pelabur.

“Adalah menjadi aspirasi saya untuk Sabah mempertaruhkan tuntutannya yang sah dan melakar jalan yang memberi manfaat kepada rakyat Sabah serta generasi akan datang.

“Kami akan terus berusaha untuk pembangunan yang saksama bagi memastikan terdapat banyak peluang kepada akyat Sabah untuk membangun dan menikmati manfaat ketara daripada usaha yang dilaksanakan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|