TAWAU: Seramai 28 warga asing termasuk dua wanita didenda RM5,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah terbabit dalam sindiket penipuan ‘love scam’ dan pelaburan dalam talian.
Semua tertuduh berusia antara 21 hingga 51 tahun terdiri daripada 26 lelaki dan seorang wanita warga China serta seorang wanita warga Vietnam.
Pengakuan bersalah itu dibuat selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum dan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin dalam dua prosiding berasingan.
Mengikut pertuduhan, semua tertuduh didakwa memperdaya mangsa melalui penipuan ‘love scam’ dan pelaburan penjualan produk kegunaan harian secara dalam talian yang menyasarkan warga Korea.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di empat banglo mewah di Indah Regency Bandar Sri Indah, Batu 10 Jalan Apas, kira-kira jam 9.20 pagi pada 6 Mei lalu.
Kes dikendalikan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Berdasarkan pertuduhan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum enam bulan dan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding itu, peguam Choong Wen Shan yang mewakili semua tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM5,000 bagi setiap individu selaras rundingan pengakuan salah yang dipersetujui pihak pendakwaan.
Beliau berkata, semua tertuduh sudah menandatangani dokumen persetujuan selain mengakui kesalahan itu adalah kali pertama dilakukan dan berjanji tidak akan mengulanginya.
Mahkamah kemudian memerintahkan 16 tertuduh didenda RM5,000 setiap seorang atau penjara dua bulan jika gagal membayar denda.
Dalam prosiding berasingan, 12 lagi tertuduh turut dikenakan denda RM5,000 setiap seorang atau penjara empat bulan jika gagal membayar.
Semua tertuduh turut diperintahkan dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas membayar denda atau selesai menjalani hukuman penjara.
Mahkamah juga memerintahkan semua barang kes dilupuskan selepas tamat tempoh rayuan.
Pada 6 Mei lalu, semua tertuduh ditahan dalam operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau bersama Strike Team dan Task Force Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Tawau.
Siasatan awal mendapati sindiket itu menggunakan platform media sosial seperti Telegram, WhatsApp dan KakaoTalk untuk memperdaya mangsa, khususnya warga Korea.
