KOTA KINABALU: Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS), Datuk Mohd Nazri Abdullah merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh, atas pengurniaan Darjah Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran “Tun”, sempena Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bagi tahun 2026.
Beliau berkata, pengurniaan darjah kebesaran tertinggi negara itu merupakan pengiktirafan yang amat berprestij terhadap jasa, kepimpinan dan sumbangan Wan Ahmad Farid dalam memperkukuh institusi kehakiman serta menegakkan kedaulatan undang-undang di negara ini.
“Bagi pihak PPNS, Ahli Jemaah Pengarah dan seluruh warga peladang Sabah, saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang juga sahabat baik atas pengiktirafan yang amat bermakna ini.
“Pengurniaan ini mencerminkan penghargaan negara terhadap komitmen, integriti dan kewibawaan beliau dalam memimpin institusi kehakiman serta memastikan keadilan terus terpelihara untuk rakyat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Nazri turut mendoakan agar Tun Wan Ahmad Farid terus dikurniakan kesihatan, kekuatan dan kebijaksanaan dalam memikul amanah sebagai Ketua Hakim Negara demi memperkukuh keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan dan kehakiman negara.
Wan Ahmad Farid merupakan penerima tunggal Darjah Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran “Tun” dalam senarai penerima Darjah Kebesaran Persekutuan 2026 bersempena Sambutan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 1 Jun 2026.
