Lahad Datu: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah terus mempergiat operasi melalui Op Tiris dalam usaha membanteras kegiatan penyelewengan bahan api bersubsidi di Pantai Timur Sabah.
Bertindak atas maklumat dan hasil pemantauan, sepasukan anggota PPM telah menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah lori rigid tangki minyak diesel jenama Nissan di kawasan Jalan Paris 3, Lahad Datu, Kinabatangan dalam keadaan mencurigakan.
Hasil pemeriksaan mendapati lori tersebut tidak mempunyai sebarang pelekat daripada mana-mana depot sah, manakala muatan di dalam tangki mengandungi anggaran lebih kurang 10,000 liter minyak diesel. Pemandu lori turut gagal mengemukakan sebarang dokumen penghantaran (delivery order / note) bagi mengesahkan destinasi penghantaran bahan api tersebut.
Seorang lelaki tempatan telah ditahan, manakala lori bersama muatan minyak diesel dirampas bagi tujuan siasatan lanjut. Bahan api tersebut disyaki cuba diseleweng dan diseludup ke negara jiran.
Nilai keseluruhan rampasan minyak diesel dianggarkan berjumlah RM51,200.00.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
PPM Wilayah 4 Sabah akan terus komited dalam membanteras kegiatan penyelewengan dan penyeludupan bahan api bersubsidi demi memastikan ketirisan dapat dibendung serta kepentingan negara terus terpelihara.
