Laporan akhir pasukan petugas khas dibentang 7 Oktober

Laporan akhir pasukan petugas khas dibentang 7 Oktober

Kuala Lumpur: Laporan akhir Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 7 Oktober ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia merangkumi syor-syor mengenai hala tuju kerajaan berhubung kes berkenaan.

“Petugas Khas itu terdiri daripada peguam tempatan yang mengendalikan kes ini pada tahun 2016 hingga 2017.

“Pengamal undang-undang, pakar pengukuran maritim dan wakil Kementerian/Jabatan yang berkepentingan telah selesai melaksanakan tugasan diamanahkan berdasarkan terma rujukan yang ditetapkan memfokus kepada aspek perundangan dan hubungan Malaysia-Singapura,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Wan Junaidi berkata, pelbagai pendekatan telah dilaksanakan oleh pasukan itu dalam menjayakan tugasan sepanjang tempoh tersebut.

“Seperti meneliti dan menyemak dokumentasi dan material berkaitan, mengadakan siri perbincangan atau mesyuarat dan lawatan kerja dalam serta luar negara, khidmat konsultasi bersama pakar perundangan dan juru hidrografi luar negara serta sesi temu bual dengan individu yang dikenal pasti,” katanya.

Dalam pada itu, tegas beliau, kerajaan komited dalam memastikan kedaulatan dan persempadanan maritim negara sentiasa terjamin dan menjadi keutamaan.

“Penubuhan dan pelaksanaan Pasukan Petugas Khas itu yang dipengerusikan Mantan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali sepanjang hampir sembilan bulan mulai 9 November 2021 hingga 30 Ogos 2022 merupakan bukti jelas komitmen tersebut,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|